Wednesday, 2 May 2012

Sabarlah!!

Bismillahirrahmanirrahim....

.........السلام علىكم ورحمة الله وبركاته
Firman Allah Taala dalam Al-quran:
1. “......sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang disempurnakan (dicukupkan) pahala mereka tanpa batas” (az-zumar: 10)
2. “......maka maafkanlah (mereka) dengan cara yang baik” (al-hijr:85)
Di dalam dunia ini, siapa yang tidak pernah melakukan dosa? Siapa yang tidak pernah menyakiti hati orang lain? Jawapannya, Tiada!! Bahkan kita sendiri pernah menyakiti hati manusia yang lain secara sedar ataupun tidak.  Oleh itu, apabila tiba masa orang lain pula menyakiti hati kita, mengapa mesti kita memarahinya? Sabarlah, sesungguhnya tiada manusia yang sempurna di dunia ini.
Dalam melaksanakan perintah Allah, pasti kita akan dilukai, disakiti, dizalimi. Kerana apa?
Kerana:
ataukah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) seperti (yang dialami) orang-orang yang terdahulu sebelum kamu. Mereka ditimpa kemelaratan, penderitaan, dan diguncang (dengan pelbagai cubaan), sehingga rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya berkata, ‘kapankah akan datang pertolongan Allah?’ ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat.”  (Al-baqarah: 214)
Kita dapat melihat betapa nabi ayub contohnya, mendapat dugaan oleh Allah denang mendapat penyakit kulit yang luar biasa selama tujuh tahun. Tetapi beliau tetap sabar, dan beliau tetap melaksanakan perintah Allah dan tidak brpaling dari ajaran islam walau sesaat pun. Orang yang beriman akan sentiasa diuji oleh Allah taala. Seperti Rasulullah, pelbagai cubaan dan dugaan telah baginda tempuhi dalam perjalanan dakwahnya. Baginda dihina, dizalimi, diherdik, dipulaukan oleh masyarakat musyrikin mekah. Kemudian adakah baginda mengalah? Tidak! Baginda tetap sabar, dan tetap meneruskan dakwah islamiah. Sifat seperti inilah yang perlu ada pada setiap muslim. Kita patut mencontohi sifat baginda yang contohnya apabila dicederakan dalam sebuah medan perang, baginda tidak mengamuk, malah baginda berdoa kepada Allah: “Ya Allah, ampunilah umatku, sesungguhnya mereka tidak tahu”. Begitu hebat sifat yang wujud pada diri insan kamil ini.
Ingatlah sabda baginda ini:
Apabila makhluk dihimpunkan (pada hari kiamat) seorang tukang seru pun menyerukan: Dimanakah orang-orang yang mempunyai keistimewaan?”
Baginda Bersabda lagi: “Maka bangunlah sekumpulan mereka dan bilangan mereka sangat sedikit. Mereka pun terus bergerak menuju syurga, para malaikat lantas menemui mereka dan berkata: ‘apakah keistimewaan kamu?’ Mereka menjawab: ‘di masa lampau (di dunia), apabila kami dizalimi, kami bersabar, apabila diperlakukan kejahatan kepada kami, kami bersifat lemah lembut’. Lantas dikatakan kepada mereka : ‘masuklah kamu ke dalam syurga, maka nikmatlah ganjaran bagi mereka yang beramal’.”  (Hadis Riwayat Al-Baihaqi dalam ‘Shuab al-iman’)

Tidak teringinkah kita untuk menjadi  ‘orang-orang yang mendapat keistimewaan’ ini? Mereka dilayan dengan baik, dimasukkan ke dalam syurga yang diidamkan oleh semua manusia. Oleh itu bersabarlah, sesungguhnya dunia ini hanyalah sementara, dan:
           
“sesungguhnya kehidupan akhirat itu lebih baik dan lebih kekal” (al-a’la: 17)

Begitu indahnya sekiranya dunia ini penuh dengan orang-orang yang mempunyai tahap kesabaran yang tinggi. Mungkin perkara seperti ini kita anggapnya sebagai remeh temeh, tetapi bersifat sabar dan berlemah lembut akan menimbulkan rasa kasih sayang, mesra, menghapuskan perpecahan dan perselisihan. Dengan cara itu islam akan dapat bersatu hati dan membangkitkan zaman kegemilangan yang hilang bersama-sama kerajaan bani uthmaniyah dahulu.
Jika kita dihina oleh orang-orang di sekeliling kita, janganlah berputus asa. Berdoalah agar mereka mendapat hidayah petunjuk daripada Allah. Tetapi mengapakah terjadinya perkara sebegitu?Mengapa umat islam dihina sebegitu rupa sehingga dianggap sebagai ‘pengganas’ oleh sesetengah pihak? Kerana amal-amal islam penuh dengan perkara yang tidak digemari, demikian juga perjalanan dakwah penuh dilingkungi dengan berbagai kesukaran, penyeksaan, penindasan, tuduhan-tuduhan, penghinaan dan pandang rendah.  Ingatlah bahawa:

“......Boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (al-baqarah: 216)

 Ingatlah juga sabda Rasulullah yang berikut:

“islam itu datangnya dagang (ganjil), dan akan kembali menjadi ganjil. Maka( ketika itu) beruntunglah orang-orang yang ganjil.”

Pernah rasulullah pada suatu hari baginda didatangi malaikat yang berkata: “mahukah aku timpakan bencana pada orang-orang kafir yang menzalimimu?” kemudian apakah kata baginda? Baginda bersabda: “janganlah. Sekalipun mereka tidak beriman, anak cucu mereka mungkin beriman.” Btapa rasulullah berfikiran panjang dalam melakukan sesuatu perkara. Mengapa kita tidak boleh mencontohi baginda? Sabda baginda lagi:

“Sabar itu separuh daripada iman.”

Antara tips-tips menahan marah:
            1. menguatkan jiwa, berfikirlah tentang akibat buruk marah.
            2. mengingati kelebihan dan jasa orang yang dimarahi itu.
            3. meminta perlindungan dengan Allah taala daripada syaitan (membaca a’uzubillah)
            4. ingat kepada Allah dan bertasbihlah kepada-Nya.
            5. ubah kedudukan. Jika sedang berdiri maka duduklah, jika sedang duduk maka berbaringlah.
            6.tinggalkan tempat dimana terdapat orang yang dimarahi itu.
7. berwudhu’ lah, atau mandi.
           
Dan juga, biasakanlah berpuasa dan sentiasa senyum. Jika kita ingin marah, kita pasti akan menghasilkan mimik muka yang teruk. Oleh itu, apabila kita senyum, secara tidak langsung ia akan meredakan sedikit kemarahan kita.

Tidak ada faedah sebenarnya marah pada seseorang. Hal ini kerana ia hanya akan memenatkan kita. Jika kita ingin marah pada seseorang, kita perlu mengumpulkan tenaga untuk melakukan tindak balas fizikal yang lebih banyak berbanding biasa. Ia hanya akan membazir tenaga kita. Itulah sebabnya mengapa orang yang terlalu lemah kerana kepenatan jarang marah. Hal ini kerana mereka tidak mempunyai tenaga yang cukup untuk dikumpulkan bagi menghasilkan kemarahan tersebut.

Islam itu indah, jadi jangan kotorkannya dengan perkara-perkara dosa serta akhlak yang buruk. Ingatlah setiap daripada kita tidak sempurna. Oleh itu berusahalah untuk memperbaiki diri kita. Yang baik kita jadikan tauladan, manakala yang buruk kita jadikan sempadan....

Sekian,
.........وسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

No comments:

Post a Comment